KUCHING: Usaha menarik minat golongan muda menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan antara perkara dibangkitkan dalam laporan akhir Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata ia penting bagi memastikan golongan muda mempunyai kelayakan yang baik terutamanya dalam pasaran kerja yang kompetitif pada masa ini.

Beliau berkata setiap tahun terdapat ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan antara puncanya ialah kebanyakan mereka memilih untuk terus bekerja.

"Ada dalam kalangan mereka berpandangan bahawa lebih baik bekerja selama empat tahun dengan diberikan gaji daripada berada di universiti dalam tempoh sama. Itu satu pemikiran jangka pendek.

"Kita harus beri kefahaman kepada golongan muda bahawa dengan pergi ke IPT, peluang mereka akan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ekspo Teknologi Inovasi 2023 (InTEX23) di sini hari ini.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata sebanyak 59 isu dan cadangan telah diperoleh daripada pembentangan laporan akhir Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional.

Mohamed Khaled berkata dapatan itu diperoleh daripada tinjauan yang dilakukan terhadap 134 institusi.

Pada 13 Mac lepas, Mohammad Yusof dilaporkan berkata kementeriannya sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab membuat semakan dan kajian secara mendalam ke atas dasar-dasar pendidikan tinggi nasional.

Beliau berkata matlamat dan mandat utama jawatankuasa itu adalah untuk melihat kekurangan, kelemahan dan kekuatan dasar sedia ada dan seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.

-- BERNAMA